top of page
Command Centre: Blog2
Search
Writer's pictureMY Enfiniti Universe

Tiara Jacquelina cari pengganti 'Puteri Gunung Ledang'

KUALA LUMPUR: Bagi penggemar teater tanah air, persembahan teater muzikal popular Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) bukan sesuatu yang asing lagi.

Musim pertama pementasan yang mengupas kisah percintaan Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah itu pada 2006 mencetus fenomena luar biasa.


Selang beberapa tahun, pementasan yang sama dipentaskan lagi di Istana Budaya, Kuala Lumpur dengan kali terakhir pada 2009.


Dan pada 2020, pencinta muzikal berkenaan berpeluang untuk menontonnya apabila naskhah berkenaan bakal dipentaskan sekali lagi.


Bagaimanapun, untuk membawa kembali pementasan mega itu ke Istana Budaya, pencetus muzikal berkenaan, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, beliau berhadapan dengan cabaran untuk mencari pelakon yang sesuai sebagai Puteri Gunung Ledang.


Ini kerana, jelas Tiara, untuk pementasan musim baharu ini, beliau tidak lagi berlakon, sebaliknya, akan menduduki kerusi pengarah.


Justeru, beliau meletakkan harapan untuk melihat bakat-bakat baharu sebagai penggantinya dalam PGLM.


Sehubungan itu, Tiara mengumumkan, pihak produksi sedang mencari seorang pelakon yang akan memegang watak utama sebagai puteri.


Menyedari karakter Puteri Gunung Ledang sangat masyhur dalam kalangan negara-negara serantau, maka uji bakat bagi watak berkenaan turut dibuka kepada semua pelakon termasuk dari Singapura, Indonesia dan Malaysia.


"Puteri perlulah pandai menari, pandai menyanyi dan pandai menarik perhatian khalayak dalam menjiwai watak," jelas beliau mengenai kriteria yang diperlukan bagi watak Puteri Gunung Ledang.


Tiara berkata demikian dalam sidang media ketika sambutan majlis ulang tahun Enfiniti ke-21 bertempat di MaTiC, Ampang pada Selasa.


Menurut Tiara, perincian berkenaan uji bakat pelakon bagi teater itu bakal diuar-uarkan kepada orang ramai menerusi semua platform media sosial Enfiniti Group.


Ditanya kenapa beliau memilih untuk mementaskan naskhah yang sama pada 2020, Tiara berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas daripada orang ramai khususnya pencinta teater tanah air.


Menurut Tiara, selama ini beliau sering ditanya banyak pihak mungkinkah PGLM dipentaskan lagi di pentas gah di Istana Budaya, Kuala Lumpur.



Justeru, sebagai memenuhi kehendak penyokong industri teater tempatan, Tiara berkata, beliau bersama team produksi sepakat untuk mementaskannya pada Julai tahun depan.


Sementalah pula, jenama PGLM sangat kukuh dan sering dijadikan penanda aras bagi pementasan teater di Malaysia.


"Ia diadakan atas permintaan semua. Setiap kali saya hadir bagi pementasan Ola Bola Merdeka Tour lagi, orang ramai masih meminta PGLM kembali dipentaskan.


"Jadi saya kira ini sudah tiba masanya untuk seorang puteri kembali menemui anda," kata Tiara ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun Enfiniti Group ke-21 pada Selasa.


Bagi pementasan musim baharu PGLM, Tiara akan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah yang disifatkannya bukan tugas yang mudah untuk dilaksanakan.


Ini kerana, jelas  itu, menjadi pengarah menuntut cabaran yang luar biasa apatah lagi buat PGLM yang dipentaskan dalam skala yang besar.


Enfiniti merupakan syarikat pengurusan seni dan filem yang pernah menghasilkan pelbagai rancangan dan persembahan teater seperti Ola Bola: Merdeka Tour, Spanar Jaya, Toll Gate Girl, PGLM dan banyak lagi.


76 views0 comments

Commenti


bottom of page